Keroncong ialah sejenis seni muzik yang berasal dari pengaruh Indonesia. Ia mulai diperkenalkan ke Semenanjung Tanah Melayu pada akhir abad ke-19 apabila ramai pekerja buruh dari Indonesia terutama dari Pulau Jawa berhijrah ke Malaysia untuk mencari pekerjaan. Penduduk dari Jawa, tidak ketinggalan juga membawa bersama kesenian mereka termasuk seni muzik gamelan, keroncong, muzik untuk wayang kulit, kuda kepang, barongan, hamdulok, katoperak dan sebagainya.
Kawasan-kawasan yang banyak terdapat kegiatan muzik keroncong adalah di tempat-tempat di mana terdapat ramai orang Jawa dan keturunannya seperti di negeri Johor, di pantai barat negeri Selangor dan Perak. Pada mulanya lagu-lagu keroncong yang dimainkan oleh orang tempatan adalah lagu-lagu yang berasal dari Indonesia. Akan tetapi lama-kelamaan, selepas Perang Dunia II, ada pencipta lagu tempatan yang mencipta lagu-lagu keroncong bercorak Melayu seperti Zubir Said, Ahmad Jaafar, P. Ramlee, Mohd. Wan Yet, Johar Bahar, Sudar Mohammad, Zainal Ibrahim dan pada akhir-akhir ini Mahzan Manan dan Ariff Ahmad.
Di Indonesia terdapat ramai pencipta lagu keroncong yang ternama antaranya Ismail Marzuki, Gesang R. Maladi, Oey Yok Siang, R. Sutedjo, Arimah, Budiman B. J., S. Padimin, L. Hidayat, S. Poniman, Teruma Hadi, Iskandar dan Mochtar Embut dan pada masa sekarang Soeharto A. H., Riyanto dan ramai lagi.
Assalammualaikum Zuha...
ReplyDeleteTerima kasih, maklumat ini bantu anak akak buat folio muzik dia...